#dreamer #music #food #nature #travel #photography #libra

Showing posts with label Memory. Show all posts
Showing posts with label Memory. Show all posts

Friday, June 9, 2017

Bubur Lambuk Wadi Hassan


Sedar tak sedar...dah 14 hari kita berpuasa. Lupa pulak aku nak ucapkan selamat berpuasa kepada pembaca Muslim di luar sana. Takde la terlambat sangat kan? Hahaha. Dan sementara ada masa pagi ni sebelum pergi kerja, aku rasa nak share tentang satu lagi memori masa aku kecik-kecik dulu.

Bubur lambuk... saper tak tahu kan? Bubur ni cukup famous terutamanya semasa bulan puasa. Kebanyakan masjid menyediakan dan memberikannya kepada masyarakat setempat. Tradisi pemberian bubur lambuk ni adalah salah satu amal jariah di bulan yang mulia. Rasa setiap bubur lambuk ada sedikit berbeza antara setiap masjid atau negeri. But overall, still the same lah.

Masa aku kecik-kecik dulu.. zaman sekolah rendah, aku selalu pergi ke Masjid Wadi Hassan, Johor Bahru untuk mengambil bubur lambuk ni. Jalan kaki je.. lebih kurang 1-2 kilometer dari rumah. Selalunya aku akan bawa bekas sendiri untuk diisikan dengan bubur ni.

Bubur lambuk Masjid Wadi Hassan memang special. Dimasak dengan daging, rempah-ratus dan daun-daun selama beberapa jam. Rasanya lemak... cukup serba-serbi. Kalau makan bubur lambuk, aku suka letak sambal kicap Johor yang hitam pedas tu.

Selalunya lepas asar aku akan pergi ambil bubur lambuk ni. Aku ingat lagi, ada beberapa kali insiden bila balik, masa bawa bubur ni jalan terhuyung-hayang... bubur ni tertumpah kat tangan aku. Tanpa rasa bersalah, aku akan jilat saki-baki bubur tu. Nikmat hawau! Takdenya nak lap bersihkan. Hahahaha.. masa tu kecik lagi kan.. sekolah rendah lagi. Iman tak berapa nak kuat. Sampai rumah muka kemain innocent. Hahaha...

Tu je lah kisahnya. Tapi until now bubur lambuk menjadi menu favorite aku kalau malas nak memasak. Campak je semuanya.. siap. Kadang-kadang aku sengaja masak lebih biar boleh tahan sehari dua. Makan ulang-ulang dengan sambal kicap. Kalau terlebih rajin, aku masak satu periuk bawak pergi office (macam kat gambar atas tu).

Nantilah.. free sikit aku letak resepi tu kat sini. Resepi ni ikut resepi arwah tok aku turun-temurun.. tapi aku adjust sana sini ikut bahan apa yang ada je. 

Okaylah nak gerak pi office. Selamat menunaikan ibadah puasa! Till then.. tata.
Read More

Thursday, June 8, 2017

Budin, si Bai Roti


Minggu lepas, aku balik sekejap ke JB sebab adik aku, Salim tak berapa sihat. Ada masalah jantung bengkak dan kekurangan oksigen. Warded la juga pada pagi Sabtu tu. Dan Alhamdulillah semalam... hari Rabu dia dah dibenarkan pulang dan keadaannya semakin baik. Terima kasih kepada keluarga, sahabat dan kenalan yang sama-sama mendoakan kesihatannya.

Dan kebetulan aku kat JB hari tu, terdetik di hati nak singgah ke Jalan Dhoby membeli roti. Kat sini siapa tak kenal roti Jalan Dhoby. Salahuddin Bakery tu cukup famous... dibuka sejak tahun 1937! Anyway, aku bukan nak cerita pasal Salahuddin Bakery ni.. tapi aku nak cerita tentang seorang hamba Allah yang selalu membawakan roti istimewa ni kepada keluarga kami sejak aku kecil lagi.

Budin... Bai Roti@penjual roti yang selalu berniaga roti di kawasan rumah aku di Jalan Alimat, Wadi Hana, Johor Bahru. Nama betul dia aku tak sure.. Shahabudin kot. Wajahnya lebih kurang macam gambar kat atas tu. Berjanggut putih panjang, berkopiah, memakai kurta putih dan berkain pelikat. Selalu mulutnya berwarna kemerahan sebab dia rajin mengunyah sireh. Tapi apa yang pasti dia cukup akrab dengan keluarga kami terutamanya arwah moyang aku, Tok Bie dan arwah nenek aku, Baba. Budin kalau tak silap aku berasal dari Allahabad, India atau Jalalabad, Afghanistan. Antara dua tu lah. Yang aku ingat bad.. bad.. kat belakang tu. Dia agak kamceng dengan moyang aku sebab arwah Tok Bie tu pun memang asal dari Kabul, Afghanistan. Ayahnya memang orang sana... datang bermastautin di Singapore-Johor.

Dah lama Budin berniaga di Johor. Sejak aku berumur 4-5 tahun lagi kot. Atau awal lagi dari tu. Time tu rasanya dia dah berusia lewat 50-an atau 60-an. Budin ni sangat penyayang dan dia cukup suka menyakat Salim. Dia suka perambat budak tu. Dan Salim sampai sekarang ni pun masih ingat si Budin ni. 

Aku selalu cega je.. kalau petang tu mesti tunggu bunyi hon dia. Dia mesti akan berhenti di depan rumah kami. Budin berniaga menggunakan motorsikal beroda tiga tu.. yang ada compartment mengisi barang jualan di tepinya. Tatau nak describe camne tapi aku rasa korang faham. Macam-macam jenis barang yang dia jual. Roti, karipap dan segala macam kudap-kudapan. Yang kerap kami sekeluarga beli semestinya roti Jalan Dhoby. Roti ni memang special tak macam roti yang jual sekarang yang dah siap potong. Roti Jalan Dhoby mempunyai kulit keras coklat kegelapan tapi isi dalamnya putih dan sangat lembut! Selalunya kami makan roti ni macam biasa lah.. sama ada dibakar, makan dengan sup kambing/kari atau dengan asam pedas. Memang terbaik!

Selain roti tersebut, Budin turut menjual karipap kentang bersaiz tiga segi yang besar. Kulit karipap ni sangat rangup. Makan satu pun dah kenyang. Selain karipap ni juga, ada dijual kuih/biskut suji. Suji dia besar sikit, rapuh dan secukup rasa... tak berapa manis. Pendek kata just nice. Petang-petang, minum kopi-O sambil pekena karipap dan biskut suji tu memang layan lah.

Di samping meniaga, kadang-kala kalau dia nak makan ayam, dia akan beli dengan keluarga aku. Sebab kami ada lah membela ayam time tu. Takde la banyak mana pun. Tak sampai 10 ekor. So, bila dia dah beli tu, aku la yang dok menolong dia perambat ayam. Aku kejar ayam from that side, dia dok tunggu kat belah satu lagi. Aku still boleh bayangkan that moment until now...

Tapi bila kami dah berpindah ke Taman Dahlia, Tampoi pada tahun 1990, kami dah tak berjumpa dengan Budin lagi. Tapi ada sekali dua tu dia datang Taman Dahlia berjumpa kami sekeluarga. Rindu betul dengan Salim. Katanya dia nak berniaga kat situ tapi takde pun kelibatnya. Dan lepas tu Walid ada juga berjumpa dengannya di Masjid Wadi Hassan. But after that dah tak dengar khabar berita. Yelah... time tu mana ada smartphone bagai kan. Tak tahulah sama ada dia dah pulang ke India ataupun masih di bumi Malaysia ni. Kalau panjang umurnya, mungkin sekarang dia dah berusia sekitar 70-80 tahun.

So, itulah dia kisah Budin... Bai Roti masa aku kecil dulu yang sampai sekarang sangat dekat kat hati aku. Dan bila aku ingat-ingat balik kenangan masa dulu... bergenang air mata mengingatkan betapa indahnya suasana masa tu dengan insan-insan yang kita sayang yang tiada lagi bersama kita sekarang ni.

Buat Budin, jika umurnya masih panjang, aku doakan semoga Allah memelihara kesihatan dan keselamatannya. Dan jika dia telah tiada, semoga Allah merahmati rohnya dan menempatkannya di kalangan para solihin... begitulah juga dengan ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan kita yang telah pergi.. Amin Ya Rabb...
Read More

Wednesday, July 8, 2015

Pergi tak kembali...


Sedar tak sedar, lagi beberapa hari lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Cepatnya masa berlalu. Rasanya macam baru je start puasa kan?

Nampaknya raya tahun ni, kira 2 kalilah kami sekeluarga beraya tanpa Hababah tersayang iaitu nenek aku. Baba pergi menyahut panggilan Illahi pada bulan Sya'aban tahun 2014 yang lepas. Rindu Baba sebenarnya. Ya lah, dia dah tinggal dengan kami sekeluarga since aku kecil lagi. Dia lah yang turut menjaga kami adik-beradik, makan minum kami dan rajin membuat baju raya kami masa kami kecil-kecil dulu. In fact, sampai aku masuk universiti pun Baba masih gigih menjahit baju raya kami. Jahitan Baba sangat halus. Kalau dulu masa kecil tu, baju teluk belanga aku, jahitan di bahagian leher baju tu memang sangat halus. Baba memang pandai menjahit. Teringat masa aku darjah 2 tahun 1986 dulu, masa dibedah kakinya kerana terpijak jarum semasa menjahit.

Dan apabila nak menjelang raya pula, Baba antara orang yang paling sibuk. Sibuk la dia menyiang bahan-bahan untuk memasak Laksa Johor. Laksa Johor memang hidangan utama kami sekeluarga semasa Hari Raya. Tapi bila dia dah uzur, tugas memasak kuah laksa diambil alih oleh Umi. Sungguhpun demikian, Allahyarhamah tetap gigih nak masuk ke dapur membantu. Memang Baba jenis tak reti duduk diam. Ada je pekerjaan yang dia nak buat. Sampai kadang-kadang kena marah dengan kami sekeluarga. Marah bukan sebab benci. Sebab kami sayangkan dia.. since dia dah tak kuat dan kalau penat sedikit nanti dia akan diserang semput/lelah.

Kalau disentuh pula tentang kasih sayang dia terhadap anak-anak dan cucu-cucunya.. Baba memang No. 1! Sampaikan Walid aku kalau balik lambat sikit, dia akan risau. Apa lagi cucu-cucunya. Risau kalau kami keluar dan tak balik-balik. Tanya berulang-kali dengan kami yang berada di rumah. Apa lagi kalau dia dengar ada kes culik dan sebagainya. Lagilah berganda tahap kerisauannya. Itulah Baba kami. Rindu sangat dengannya bila dia dah takde ni.

Baba pergi pada awal pagi sebelum Subuh Jumaat, 20 June 2014 bersamaan dengan 22 Sya'aban 1435H. Perginya ketika tidur. Mengikut cerita Umi, pada malam sebelum dia meninggal, Baba ada beritahu dia.. ""Chik (dia panggil Umi aku, Chik), Umi tidur dulu.. kalau Umi jaga, jagalah.. kalau takde, takdelah... Umi dah pergi.."" Dan Umi pun selalu ingatkan Baba sebelum tidur supaya baca syahadah siap-siap. Mana lah tahu umur kita kan. Masa Baba meninggal, Walid berada di Indonesia dan tak sempat pulang. Kami adik-beradik dan dengan bantuan saudara-mara dan kenalan yang menguruskan jenazah Baba. Nasib aku baik sebab sempat sampai dari KL. Ketika tu jenazah dah dibawa ke Masjid Wadi Hassan untuk disembahyangkan selepas solat Jumaat. Selesai pengkebumian, Shaha (adik ipar aku) yang membacakan talqin. Cepat dan mudah sungguh urusan pengkebumiannya. Semuanya dipermudahkan oleh Allah Ta'ala. Alhamdulillah.

Memang setiap kali Aidilfitri, kami sekeluarga menyambut ala kadar sahaja kerana kemeriahannya tak seberapa tanpa ahli keluarga kami yang telah pergi. Tambahan pula, adik aku yang nombor 3, Ali Zainal Abidin Alattas pun turut pergi menyambut seruan Illahi pada Hari Raya ke-3 tahun 2005. Walaupun dah hampir 10 tahun pemergiannya, kehilangannya masih kami rasai sehingga kini.

Apapun, doa aku semoga Allah Ta'ala mengampunkan dosa-dosa mereka dan menempatkan roh-roh mereka di kalangan orang-orang yang beriman. Dan semoga Allah Ta'ala memanjangkan usia Walid dan Umi aku, serta adik-beradik, keluarga, saudara-mara dan sahabat handai yang lain, serta mengurniakan mereka kesihatan yang berpanjangan.

Amin Ya Rabb.

Image source: http://www.hdwallpapers-desktop.com/Nature-Landscape-Wallpapers/images/Mist%20Tree.jpg
Read More