#dreamer #music #food #nature #travel #photography #libra

Saturday, July 26, 2014

Kematian...

"Kehidupan tidak lengkap tanpa kematian..."


Begitulah antara ayat yang pernah dikatakan oleh seorang mangsa MH17 kepada rakannya. Memang benar.

Dan di mana harus aku bermula?

Yang pasti, hati ini sangat tersentuh dengan tragedi yang menimpa penerbangan MH17 pada hari Khamis yang lalu. Tersentuh kerana merasakan betapa murahnya nilai nyawa pada zaman sekarang ini. Seolah-olah tiada nilai bahana kerakusan manusia yang dahagakan kuasa dan kebendaan. Dibandingkan dengan kes MH370 dahulu, kes kali ini paling menyentuh hati aku kerana mangsa pergi dalam keadaan yang sangat tragis. Bukan kata MH370 itu tidak tragis. Tetapi hati kecil masih percaya pada sesetengah teori konspirasi yang dikeluarkan. Pendapat masing-masing... wallahu'alam.

Tak tahulah apa nak jadi dengan dunia sekarang. Buka paper, tengok internet, macam-macam kejadian yang menakutkan. Dengan peperangan demi peperangan, pembunuhan, kemalangan.. kematian boleh berlaku pada bila-bila masa. Memang kita percaya pada qadha dan qadar, tetapi dengan kejadian seperti itu, membuatkan aku terfikir, bagaimanakah agaknya keadaan aku bila pergi menghadap Illahi? Sudah bersediakah atau direnggut nyawa aku dalam keadaan aku tidak bersedia.

Dalam jangkamasa terdekat ni aku kehilangan 2 ahli keluarga terdekat; nenek aku dan terbaru ni, nenek saudara aku. Nenek aku pergi pada akhir bulan Sya'aban haritu. Tenang perginya. Memang dia dah cakap dengan umi aku yang dia akan pergi pada hari Jumaat bulan Sya'aban. Setiap hari arwah bertanya dengan umi aku hari ni hari apa. Dan malam sebelum dia pergi tu, selepas umi aku berikan dia air dan suruh dia mengucap syahadah siap-siap sebelum tidur, dia ada cakap dengan umi aku lebih kurang begini "Cik, umi tidur dulu.. kalau umi jaga, jagalah.. kalau takde, takdelah... umi dah pergi.." Dan sungguh dia pergi menemui Allah dalam tidurnya. Begitu juga nenek saudara aku yang pergi pada malam Jumaat baru-baru ni. Beruntungnya dia pergi dalam bulan Ramadhan. Kedua-duanya disembahyangkan oleh para jamaah selepas selesai solat Jumaat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Mahmoodiah, Johor Bahru.

Dan bercerita tentang kematian ni sebenarnya aku sangat kagum dan cemburu dengan  Allahyarhamah Sharifah Aini atau Kak Pah. Melihat temubualnya dalam TV9 hari tu, aku sangat tertarik dengan kata-kata arwah. "Design kematian kita". Begitulah lebih kurang. Maknanya dia sudah membayangkan bagaimana pengakhirannya dan cara dia hendak pergi. Masya-Allah.. hebat insan ini. Seperkara lagi yang membuatkan aku kagum dengan arwah adalah kerana beliau insan seni yang hidupnya sentiasa bergelumang dengan fitnah dan kehidupan dunia artis yang semua sedia maklum. Tapi lihat bagaimana pengakhirannya. Indah! That's why aku salute dengan Allahyarhamah. She's one of my idol. Perginya dalam keadaan sudah bersedia dan dijemput Allah dalam bulan yang mulia. Bertuah.. memang bertuah.

And sebab itu aku tidak pernah bersangka buruk dengan Allah. Dalam menjalani kehidupan yang kadang-kadang bergelumang dengan dosa siang dan malam, setiap kali aku berdoa agar dikurniakan pengakhiran yang baik atau Husnul Khatimah. And that's why aku rasa annoy juga kalau ada yang keluarkan statement "Ala.. dah jenis macam tu.. buat dosa. Tak payah la buat this and that.." Why not? Bagi aku hidayah itu menjadi hak mutlak dan rahsia Allah Ta'ala. Dan kalau dia nak bagi hidayah.. dan-dan tu juga yang kafir atau kaki botol or apa segala jenis penggemar maksiat sekalipun akan berubah. Siapalah kita nak cakap macam tu kan? So, sebab itulah aku tak pernah bersangka buruk dengan Allah. Senantiasa berdoa meminta yang terbaik walaupun kita ni banyak kelemahan dan kekurangan ibadat sana-sini. Who knows.. at that particular time doa kita dimakbulkan Allah Ta'ala. Dan aku yakin.. sangat yakin... Allah itu Maha Mendengar.

Dan sebab itu juga aku sangat marah dengan golongan "alim" yang sepatutnya kalau dia tahu agama dan arif tentang hal-hal agama, tidak cepat menghukum atau being too judgemental. Tengok orang begini begitu, terus label.. orang itu ahli neraka.. orang ini memang jauh dengan Allah.. wajah takde nur.. dan macam-macam pernyataan yang sinis seolah-olah syurga Allah itu sudah pasti digenggamannya. Kenapa perlu bersifat sedemikian? Bukankah lebih elok kalau kita sebagai hamba Allah sama-sama mendoakan yang terbaik untuk dirinya dan diri kita? Apa perlunya menghukum dan mengambil kerja-kerja Allah? Tu yang aku masih tak faham. Sepatutnya kalau kita lebih banyak amal ibadat dan ilmu, kita semakin tawaddhu' dan rendah diri. Dan semakin takut. Takut kerana apa? Kerana takut kalau dengan amal ibadat yang banyak sebegitu akan menimbulkan riak, ujub dan takabbur dalam diri kita. Jadi tidak perlulah kita yakin dan mendabik dada dengan amal ibadat kita. Jangan memandang rendah pada orang sekeliling. Padahal banyak dah contoh-contoh di luar sana. Cat Stevens, Noor Kumalasari dan ramai lagi yang apabila dikurniakan hidayah, kehidupan mereka terus berubah sepenuhnya. So, tanya pada diri sendiri, kenapa kita hidup perlu cepat menghukum orang lain?

Anyway, aku selalu bermohon kepada Allah agar dijauhkan daripada kematian yang menakutkan. Minta dijauhi. Apa lagi dalam keadaan peperangan atau huru-hara. Tak sanggup rasanya nak menghadapi keadaan sebegitu. Dan aku sentiasa berdoa agar dicabutkan nyawa dalam keadaan aku bersujud dalam solat. Betapa indah dan mulianya kematian sebegini. Kalau aku tengok video camni kat YouTube memang mengalir air mata. Beruntungnya mereka ni. Dijemput Allah dalam keadaan mengagungkan-Nya. Siapa tak nak kan?

Apapun, aku sentiasa mengharapkan agar Allah Ta'ala mengurniakan yang terbaik untuk kita di dunia dan di akhirat. Mudah-mudahan. Amin.

Lastly, kepada rakan-rakan Muslim di luar sana, aku ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir batin. Drive elok-elok masa pulang ke kampung halaman nanti. Have a safe journey. And to non-Muslim, happy holiday! =)

Read More

Thursday, July 24, 2014

WHY HER???


Aku tak mampu nak cakap apa bila terbaca berita pasal PERKASA sibuk dok usaha kumpulkan dana untuk bantu itu perempuan (nama dia pun tak larat aku nak sebut). Speechless! Of all people.. WHY HER??? Kalau niat mereka nak bantu atau membela nasib Melayu, aku memang sokong. But again.. my question..WHY HER??? Apa perlunya membela nasib orang yang dah memang sah-sah buat salah? Cukuplah sebagai iktibar untuk dirinya dan masyarakat di luar sana. Sampai sanggup nak kumpulkan dana seolah-olah "menghalalkan" perbuatan salahnya tu. Banyak lagi kot yang memerlukan bantuan; fakir miskin, OKU, ibu tunggal, anak yatim dan lain-lain... kenapa tak dibantu?? WHY HER??????

p/s: aku rasa tak lama lagi memang boleh mati sakit jantung bila baca berita-berita tak masuk akal sekarang ni..
Read More

Saturday, July 19, 2014

Sayang anda semua...



Video ni aku tujukan khas untuk keluarga, kenalan dan mereka yang terlibat dengan nahas MH17 dan MH370 ni dan untuk sesiapa sahaja yang telah kehilangan insan yang disayangi. Tak tahu berapa banyak air mata aku mengalir semasa mengedit video ni. But one thing for sure, peringatan untuk rakan-rakan dan diri sendiri terutamanya, hargailah insan di sekeliling kita selagi mereka masih ada. Dan untuk keluarga, saudara-mara dan all my friends out there, I love you all so much! =)

Thanks to Wassim Zagloul and Jihan for helping me with the translation.

Note: This song never fails to make me cry. Pertama, ia merupakan salah satu lagu terakhir dan video terakhir dari penyanyi yang paling aku minati, Warda, yang meninggal pada 17 Mei 2012. Kedua, lirik lagu ini yang sangat mendalam, yang mengajar kita untuk menghargai seseorang selagi dia masih ada, mengajar kita untuk memaafkan, melupakan segala dendam dan kesumat agar kita tidak menyesal di kemudian hari. Aku sertakan di bawah ni video clip sebenar lagu ni dengan menggunakan ilustrasi memandangkan beliau telah pergi sebelum sempat video ini dirakamkan. Video diterbitkan oleh anak Allahyarhamah sendiri, Reyad Qesri.

Read More

Friday, July 18, 2014

Wednesday, July 16, 2014

Misteri Kereta Putih


Kuantan ~ 2064

Malam yang dingin.
Hembusan sang bayu yang menyapa seakan menusuk ke tulang.
Sengaja Adrien tidak membuka penghawa dingin keretanya kerana ingin menikmati kesegaran angin malam selepas pulang bercuti di sebuah resort di Telok Chempedak.
Hatinya berat untuk pulang namun atas tuntutan kerja keesokan harinya maka dikuatkan juga semangatnya kembali ke ibukota.

Adrien terus leka memandu sambil ditemani alunan merdu lagu-lagu di corong radionya.
Tanpa disedari, dengan tidak sengaja dia telah melalui sebuah jalan lama yang hangat diperkatakan oleh penduduk di sini.

"Ah! Sudah. Kenapa aku pergi ikut jalan ni?"

Hendak berpatah-balik dia tidak mampu kerana terasa sterengnya berat seolah-olah ada kuasa yang menghalangnya untuk berbuat demikian.

Menurut cerita masyarakat di sini, 50 tahun yang lalu berlaku satu kemalangan di mana kereta seorang gadis dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta lain. Akibat terlalu marah dan kecewa melihat kereta barunya itu, gadis tersebut telah diserang penyakit sawan dan kesukaran bernafas sehingga mengorbankan dirinya. Dan selepas kejadian itu, maka berlakunya kejadian-kejadian pelik di mana pengguna yang melalui jalan itu pada waktu malam akan diganggu dengan kelibat kereta usang berwarna putih. Rata-rata mangsa yang pernah mengalami mengatakan mereka dikejar dengan kereta usang tersebut dengan pekikan suara menakutkan yang tidak diketahui biji butirnya bahasanya. Khabarnya gadis di dalam kereta misteri itu memegang batang kayu.

"Huh! Karutlah! Ini zaman moden. Mana ada lagi hantu-hantu ni. Percaya sangat dengan cerita tahyul. Orang lain bolehlah korang nak tipu... but not me," rungut  Adrien seakan cuba menyedapkan hatinya.

Sedang dia asyik memandu, dalam kesamaran cahaya lampu keretanya, nun jauh di sana ternampak seolah-olah kelibat kereta yang diperkatakan itu.

Kereta putih.

Jantungnya seolah-olah terhenti berdegup.
Semakin lama keretanya semakin menghampiri kereta itu.
Dan tanpa memikirkan panjang dia terus menekan pedal minyak dengan kuat.

Vrrrooooommmmmm!!
Keretanya melungsur laju.
Namun dia sempat melemparkan pandangan ke kelibat di belakang kereta putih tersebut.
Dilihatkan susuk seorang gadis dengan gaya tudung yang menarik sedang bercangkung sambil membelek bahagian bumper belakang keretanya.

Terdetik di fikiran Adrien.

"Apa gadis itu buat sorang-sorang diri tengah malam ni. Hishh... cari penyakit betullah!"

Sifat prihatin yang menebal di dalam dirinya membuatkan Adrien memperlahankan kenderaannya, dan beransur-ansur mengundurkan keretanya.

"Barangkali keretanya ada masalah, kot?"

Sampai di sebelah kereta putih itu, Adrien menguatkan semangatnya dan menyapa gadis tersebut.

"Kenapa dik?"

Diam.

Ditanyanya lagi.

"Ada problem ke?"

Masih tiada jawapan.

Tiga kali Adrien mengajukan soalan namun gadis tersebut terus membatukan diri.

"Ah.. sombong! Suka hati kau lah!" Adrien sudah mula berang. Niat sucinya untuk membantu tidak diendahkan oleh gadis tersebut.

Ketika dia hampir memasukkan gear memandu, tiba-tiba gadis itu bersuara.

"Ni ha..., calar.." rintih gadis itu dengan suara yang agak sedih.

Mendengar rintihan itu, Adrien pun memberhentikan keretanya lalu keluar. Dia berjalan menuju ke bahagian belakang kereta gadis tersebut lantas menundukkan badannya. Matanya melilau-lilau mencari apa yang tak kena.

"Kenapa dik?"

"Ni ha.. calar. Sakit hati saya bila tengok ni," kata gadis tersebut sambil menunjukkan tanda calar di bahagian bumper belakang keretanya.

"Oh.. sikit je dik. Hantar bengkel suruh mereka polish, sure okay punya," balas Adrien seakan cuba menceriakan hati gadis itu.

"Ye ke bang? Boleh ke? Saya kumpul duit dari kecil untuk beli kereta ni. Baru je dapat. Tup..tup ada orang sondol dari belakang. Mana tak sakit hati saya," luah si gadis itu dengan nada hampa.

Adrien terus membalas dengan kata-kata semangat dan nasihat agar gadis tersebut tidak terus bersedih dengan keadaan yang menimpa dirinya. Semakin lama semakin rancak perbualan mereka sehingga Adrien terlupa akan cerita-cerita seram yang didengarnya tentang misteri kereta putih di jalan ini. Kisah tragis yang berlaku 50 tahun dulu.

"Adik ni kerja apa?" tanya Adrien.

"Oh, saya buat bisnes menjual tudung bang," balas gadis misteri itu.

"Laaa... patutlah. Tengok pun dah tau sebab abang tengok cara adik pakai tudung ni memang bergaya," celah Adrien seakan cuba memasang umpan.

"Ye ke bang? Abang nak tengok koleksi tudung saya?" dengan pantas gadis itu membalas.

Belum pun sempat Adrien menjawab, gadis itu bingkas membuka bonnet belakang kereta untuk menunjukkan koleksi tudung-tudung jualannya.

"Belilah bang. Macam-macam design ada. Abang boleh bagi mak abang, adik abang, awek abang pun boleh. Adik boleh bagi abang tips nak pakai tudung lagi" kata gadis itu dengan mesra.

"Takpelah dik. Mak dengan adik abang dah banyak tudung," tolak Adrien dengan sopan.

Gadis tersebut terus-menerus mendesak sehingga Adrien merasa tidak selesa. Semakin lama semakin agresif.

"Belilah bang! Bukannya mahal pun. Bukannya sampai RM2000!" herdik gadis itu.

Adrien perlahan-lahan menjauhkan diri dari gadis itu. Bimbang kalau dirinya diapa-apakan pula.

Oleh kerana Adrien masih tidak mahu membeli jualannya, gadis tersebut naik berang. Dengan pantas si gadis itu menuju ke tempat duduk keretanya dan mengeluarkan sebatang pengunci stereng.

"Belilah! Stupid!! U pay me now!!" jerit gadis itu seakan histeria.

Tanpa berfikir panjang Adrien terus berlari menuju ke keretanya. Nasib baik dia tidak mematikan enjin kereta. Terketar-ketar tangannya memasukkan gear D dan ditekan pedal minyaknya sekuat hati. Sempat dia melihat ke cermin belakang. Gadis misteri itu masih mengejarnya sambil menghayun-hayunkan pengunci stereng itu. Sayup-sayup kedengaran pekikannya yang membingitkan itu.

"You pay me now two thousand! You pay me now!!! You stupiddddd...!!!"

Dihujung jeritan gadis itu kedengaran suara mengilai yang menakutkan.

"Kikikikikikikikiki... kikikikikikikikii..."

Menambahkan kecut perut lagi apabila kelibat gadis itu seolah-olah terbang dan hilang dalam kepekatan malam.

Sampai sahaja di rumah Adrien terus ke katil dan mengambil selimut tebal lantas menyelubungi dirinya. Tidak pernah terfikir dibenaknya bahawa dirinya akan berdepan dengan situasi yang sangat menakutkan itu. Dan keesokkan harinya, Adrien diserang demam panas selama 3 hari berturut-turut.

Setelah pulih dan dia kembali untuk memulakan tugas. Semasa berada di dalam kereta ketika hendak ke pejabat, dia terpandang sebatang pengunci stereng miliknya itu. Masih trauma dengan kejadian yang menimpanya beberapa hari yang lalu, Adrien terus membuang kunci tersebut ke luar tingkap dan berjanji akan mengunci stereng keretanya selepas ini dengan menggunakan ikatan tali rafia sahaja.

**Ini adalah cerita merapu dan rekaan semata-mata.**
Read More